Thursday, June 9, 2011

VARSITI

Personaliti: Bakal pendidik
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/02/10

CITA-CITANYA untuk menjadi guru hampir gagal dicapai apabila gagal melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2004.

Ini menyebabkan Muhammad Husni Abu Hassan, 28, memilih kerjaya sementara sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan syarikat Penerbangan Malaysia(MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diikuti syarikat pengangkutan kelas pertama, Transtar Travel Express Bus (TRANSTAR) di Kuala Lumpur.

Biarpun sudah selesa dengan pekerjaan berkenaan, anak muda kelahiran Baling, Kedah itu tidak pernah melupakan cita-cita sebagai guru yang diimpikannya sejak di bangku sekolah.

Tidak kira awal atau lambat, beliau bertekad akan melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan biarpun terpaksa menjadi pelajar tertua di universiti.

Ketika rakan sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sudah menggenggam segulung ijazah pada usia 24 tahun, Muhammad Husni baru memulakan pengajian di UPSI.


Peluang melanjutkan pengajian di universiti pendidikan antara terunggul di Malaysia digunakan sebaiknya oleh anak muda itu untuk mencapai kejayaan, sekali gus merealisasikan cita-cita menjadi guru yang terpendam sejak berusia tujuh tahun.

Tidak hairanlah beliau mencapai keputusan cemerlang dengan purata Nilai Gred Kumulatif(NGK) antara 3.50 hingga 3.75 setiap semester serta mensasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70.
Muhammad Husni berkata, kerjaya guru sudah sebati dalam jiwanya kerana beliau boleh berkongsi ilmu dan pengetahuan dengan pelajar, sekali gus melahirkan warga muda cemerlang untuk mencapai Wawasan 2010.
Katanya, beliau sudah bersedia ditempatkan di mana saja termasuk di kawasan terpencil di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang; Saliliran, Pensiangan, Sabah dan Bario, Sarawak.
“Demi cita-cita menjadi guru, saya sanggup bertugas di mana saja tidak kira kawasan bandar besar, pekan, luar bandar dan pedalaman yang hanya boleh dihubungi dengan bot atau berjalan kaki sehingga lapan jam di Saliliran, Pensiangan,” katanya.
Beliau yang turut memiliki laman blog yang boleh dilayari menerusi alamat
http://izzidraqiehuznie.blogspot.com berkata pengalaman sebagai pegawai perhubungan pelanggan sebelum belajar di UPSI turut membantunya memantapkan kerjaya guru kerana bersemuka dengan pelanggan pelbagai karenah.

“Biarpun kerjaya ini berbeza namun serba sedikit memberi pengalaman berguna apabila menceburi profesion keguruan kelak. Alhamdulillah cita-cita saya untuk menjadi seorang guru hampir tercapai,” katanya.


Mengenai kursus minornya dalam bidang seni tari, Muhammad Husni berkata beliau mahu menguasai lebih banyak tarian moden dan tradisi yang kemudian diperturunkan kepada pelajar apabila bertugas kelak.

Justeru, sikap tidak mudah putus asa adalah rahsia kecemerlangan dengan tidak menjadikan faktor usia sebagai halangan untuk mencapai cita-cita selepas percubaaan pertama melanjutkan pengajian gagal dicapai seperti dibuktikan Muhammad Husni.

Biodata: MUHAMMAD HUSNI ABU HASSAN

Umur: 28 Tahun
Asal: Baling, Kedah
Cita-cita: Guru
Pengajian:
- Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kemahiran Hidup/Teknikal, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Pengajian Peringkat Diploma:
- Diploma Elektrik dan Elektronik di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (2001-2004).
Kegiatan Kokurikulum:
- Mewakili UPSI membuat persembahan dan mempelajari tarian etnik Indonesia di Bali, Indonesia.
- Instraktor Kokurikulum Seni Tari UPSI
- Bakti Siswa Perdana di Grik, Perak pada Jun 2010
Pengalaman Kerja:
- Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Penerbangan Malaysia (MAS) selama tiga tahun dan syarikat pengangkutan awam kelas pertama, Transtar Travel Express Bus (TRANSTAR) selama setahun.
Anugerah:
- Juara Program Cabaran Penyampai Ikon Za’ba UPSI
- Johan Pertandingan Teh Tarik anjuran Kolej Za’ba sempena Hari Terbuka Kolej Za’ba 2010.
- Johan Pertandingan Gubahan Sayur dan Bunga Hari Terbuka Kolej Ungku Omar UPSI sempena Festival Flora dan Fauna 2010.
- Anugerah Krew Kabin Terbaik TRANSTAR

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG MEMBERI SOKONGAN

LOVE U MUMY,ARWAH ABAH,KAKAK,ADIK,n fmlyz,LOVEly friends pogiee,anwar,yot,crah,ayed,pensyarah upsi, batch mate AT31,team REtari 2011,migdansi zaba,jmkz 2010/2011,kc da bomb fans, n to all of u!!!!

love u guys:)~

No comments: